Archive for the ‘kisah tauladan’ Category

~ cantik dan jelita ~

Di sebuah taman bunga yang indah, terdapat dua ekor rama-rama yang bersahabat baik. Hubungan kedua rama-rama ini sangat karib sehinggakan boleh memukau mata rerama lain yang melihatnya. Rama-rama ini melakukan tugas harian mereka bersama, berkongsi masalah bersama dan sama-sama menyebarkan risalah agama kepada rerama yang lain. Mereka berdakwah kepada yang lain dan turut mengislahkan diri.

 Kedua sama cantik berwarna warni dan berpekerti mulia. Pada waktu pagi, keduanya keluar mecari madu bunga di sekeliling  taman. Adakalanya mereka juga berselisihan, namun dek hubungan yang terlalu akrab, mereka tetap bersama dan saling bermaafan.

 Dek kerana hubungan yang rapat, ada sahaja masalah dari luar yang datang menguji. Menguji sejauh mana keikhlasan mereka dalam bersahabat dan kerana apa ukhuwwah mereka. Syukur semua rintangan mampu mereka hadapi, inilah ukhuwwah kerana ALLAH. Tiada yang dapat menghalang mereka menggapai redha dan mengejar syurga. Dua rerama ini bernama  `cantik` dan `jelita`.

Semua rerama lain yang ada di taman merasa kagum dengan keakraban keduanya. Jika cantik terpaksa keluar mencari madu di luar daerah tamannya, maka jelita akan murung dan sedih sehingga cantik pulang. Cantik dan jelita berpelukan menyatakan rasa rindu.

Jelita dan cantik saling mengingatkan tentang kesalahan masing-masing, saling memperbaiki demi redha Ilahi. Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa indah dan sempurna persahabatan yang disulami nilai-nilai islami itu. Sama-sama bertasbih dan memuji kebesaran ALLAH atas rezeki dan nikmat yang dikurnia ilahi.

Besar sungguh nikmat yang cantik dan jelita dapat. Tidak seperti kebanyakkan rerama yang lain, ada yang saling berlumba mengejar dunia,mencari madu dan tidak berkongsi rezeki, serta menggoda kumbang di taman larangan. Persahabatan yang selalu wujud ketika senang sahaja.

Sehinggalah pada suatu hari, ujian yang besar melanda cantik dan jelita. Peristiwa yang sangat menguji mereka. cantik digoda seekor kupu-kupu kacak yang tinggal di sebelah taman bunga mereka. Kupu-kupu yang lembut berbicara, bersembang  dan pandai bergurau senda. Konon membawa islam namun petah berbicara lagha dan sia-sia. 

Jelita pula semakin rapat dengan seekor kumbang kacak yang pandai mengambil hati dan penyayang terhadapnya. Memberi hadiah kepada jelita tanda menghargai, berbual mesra seperti pasangan yang sah. Membuatkan keduanya lupa dan leka. Batas antara jantina sudah tidak dikenali. meninggalkan jalan dakwah dan mengejar dunia sementara.

Maka keduanya leka dalam cinta terlarang masing-masing. Ujian dan tarbiah dari ilahi untuk menguji sejauh mana kekuatan ukhuwwah mereka, betapa kuatnya ukhuwwah yang dibina selama beberapa tahun sehingga muncul kupu-kupu dan kumbang.

Semua rerama di dalam taman berasa sangat sedih dengan apa yang menimpa cantik dan jelita. Cantik dan jelita membawa haluan masing-masing, kurang berbicara dan saling berahsia. Hilang sudah saat-saat manis berkongsi ilmu dan saling bertazkirah. 

Rerama lain sudah tidak mendengari senda tawa cantik dan jelita lagi. Seri di kawasan taman yang dihias oleh ukhuwwah kerana Allah sudah mula pudar.Semua rerama turut berduka cita dan mengambil iktibar dari apa yang terjadi. Namun, rerama lain tidak putus-putus mendoakan cantik dan jelita.

Ahli taman sangat merindui cantik dan jelita yang dahulu. Semoga Allah yang menguji mereka, maka Allah jualah yang akan memberi mereka petunjuk bahawa, mereka tidak perlu terburu-buru mencari kupu dan kumbang. Mereka hanya perlu terburu-buru dalam membentuk rama-rama yang solehah dan membuat persediaan untuk ke arah itu, jodoh mereka sudahpun ditetapkan sebelum rama menjadi beluncas lagi. Rama yang solehah akan mendapat rama-rama yang soleh juga…  aminnn..